MH370: Dewan Ulama saran solat hajat
- MAR 10, 2014
- SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menyarankan masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan para penumpang dan krew pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.
Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau juga berharap umat Islam termasuk rakyat Kelantan bertenang menerima berita yang mengejutkan itu dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Menurutnya, doa serta munajat perlu dipanjatkan sentiasa bagi memohon pertolongan Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mencari dan menyelamat penumpang pesawat terbabit.
“Semoga anggota keluarga mangsa bersabar menerima berita sedih ini serta mengambil maklumat dari pihak yang benar-benar sah agar tidak timbul sebarang spekulasi. Kita masih berharap semoga MH370 ditemui,”ujarnya.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman facebooknya berkata, kerajaan negeri turut mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu memandangkan pembantu juruterbang pesawat MH370 ialah rakyat Kelantan.
“Kerajaan Kelantan bersedia menghulurkan bantuan yang termampu untuk meringankan beban keluarga terbabit,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment