BERDAYAKAN USAHA DAKWAH DI MALAYSIA
Saya mengalu-alukan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan Kelab Sukarelawan Sosial Islam yang bertujuan untuk membanteras masalah gejala sosial dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, inisiatif ini harus diperhalusi terutamanya mengenai modus operandi yang akan dijalankan termasuk peruntukan perundangan sekiranya ia berkaitan.
Saya menekankan perkara ini rentetan daripada beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini berkaitan dengan pengawasan moral individu atau masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang oleh pelbagai institusi Islam. Contohnya, artikel 'Jangan Perlekeh Institusi Agama' dalam segmen Fikrah oleh Yang Dipertua YADIM (Sinar Harian, 19 Februari 2014), cadangan penubuhan polis Syariah oleh KDN dan artikel 'Battle violent crime, not moral transgression' (The Star, 17 Februari 2014).
Dari satu sudut, sudah ramai pihak yang mengambil serius mengenai kebejatan masalah sosial dikalangan masyarakat terutamanya golongan remaja dan belia. Oleh yang demikian, satu pelan konkrit perlu dibincangkan bersama untuk mengagendakan perkara ini dan seterusnya memberikan perincian serta garis panduan yang jelas untuk memulihkan masalah sosial yang sangat kritikal di negara ini.
Antara isu yang dijangka timbul adalah tuntutan hak kebebasan individu, prosedur pencegahan pihak penguatkuasa, pelaksanaan kawalan moral, pemerkasaan badan dakwah bukan kerajaan, dan peruntukan undang-undang. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar manual Fiqh Dakwah Versi Malaysia harus diwujudkan oleh para ilmuan Islam untuk menuntun ke arah pelaksanaan kewajiban Islam ini.
Mudah-mudahan dengan wujudnya manual ini, ia mampu menjadi asas yang baik untuk diterjemahkan di lapangan sebenar dengan menggabungkan kombinasi tanggungjawab dalam Islam dan realiti sosio-politik (pentadbiran) di Malaysia.
Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment