Kenyataan Media
Pas Kedah menyokong teguh pendirian dan langkah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam menangani hal ehwal politik semasa, khususnya dalam kemelut pencalonan Menteri Besar Selangor daripada Pakatan Rakyat.
Langkah beliau itu selari dengan peruntukan Perlembagaan PAS yang menjelaskan bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS. Hal ini diperjelaskan lagi dengan tafsiran fasal tersebut oleh Majlis Syura Ulamak seperti berikut:
"Dengan merujuk kepada Perlembagan PAS, Fasal 8 (1) (a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulamak untuk menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS, maka mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada Ahad, 7 September 2014, membuat keputusan bahawa:
1) Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bg mlaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.
Ketua yang dimaksudkan di dalam fasal tersebut mestilah difahami seperti mana disebutkan di dalam Hadis Nabi اسمعو واطيعوا ولو تأمر عليكم عبد حبشي
"Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua di kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi."
2) Bahawa menjadi kewajipan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m)."
Berdasarkan tafsiran dan pendirian Majlis Syura Ulamak ini, yang disokong Dewan Ulamak PAS Pusat, PAS Kedah tidak nampak sebarang sebab untuk tidak bersama dengan pendirian dan tindakan TG Dato' Seri Presiden, bersama-sama dengan banyak organisasi PAS peringkat negeri dan dewan-dewan yang telah menyatakan sokongan.
PAS Kedah merakamkan tahniah di atas ketegasan dan langkah bijak TG Dato' Seri Presiden, Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PaS Pusat yang telah melaksanakan tanggungjawab yang besar dan penting untuk memandu seluruh ahli dan penyokong PAS perpegang teguh kepada dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebarang usaha, tindakan atau keputusan yang bertentangan dengan pendirian TG Dato' Seri Presiden dalam isu ini, oleh mana-mana pihak perlu segera dihentikan.
PAS Kedah menyeru ahli dan pimpinan di semua peringkat, khususnya di Kedah untuk mendokong pendirian ini, dan menjauhi sebarang usaha dan seruan pihak lain yang cuba mencalarkan kredibiliti dan integriti Presiden Parti dan Majlis Syura Ulamak.
Tindakan dan usaha merungkai keputusan ini serta cubaan mencairkan dasar-dasar Islam daripada PAS untuk memenuhi kehendak pihak lain, pasti akan mendatangkan kesan buruk kepada Islam dan parti pada masa ini dan pada masa depan
Muhammad Sanusi bin Md Nor
Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah
8 September 2014
Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah
8 September 2014
No comments:
Post a Comment