HULURKAN BANTUAN ANDA UNTUK PROGRAM KEBAJIKAN- DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN SIK (BIMB 02084010022679)

Sunday, 13 April 2014

Tuntut hak: Petani perlu tahu apa yang patut dilakukan

SABAK BERNAM: Lajnah Asas Tani PAS Pusat telah melancarkan Gabungan NGO Membela Hak Petani (GABETA) yang terdiri dari 15 NGO dari seluruh negara.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar,  malam tadi. (Gambar atas)

Mohamad dalam ucapan perasmiannya menyambut baik penggabungan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu langkah tepat dalam memperjuangkan nasib para petani menuntut hak mereka.

"Orang Melayu kita lihat mereka agak dingin dalam menuntut hak mereka berbanding kaum lain.

"Tetapi dengan penubuhan NGO ini ia merupakan satu petanda baru bahawa mereka sedar akan hak yang sepatutnya tuntut dan perolehi," ucap beliau di hadapan kira-kira 400 orang yang hadir.

Katanya lagi, rakyat Malaysia khususnya golongan petani tidak perlu malu dalam menuntut hak mereka dan sebagai petani mereka perlu tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

"Saya tidak menolak yang kita perlu berterima kasih kepada kerajaan dalam subsidi yang diberikan kepada golongan petani seperti racun atau baja.

"Tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu sedar bukan sekadar itu sahaja yang kita perolehi tetapi ada banyak lagi yang patut kita dapat.

"Subsidi diberikan, adakah ia sepenuhnya diberikan kepada kita, itu persoalan yang perlu dijawab selain dari tuntutan lain terutamanya masalah kepada golongan pesawah yang tertindas sejak sekian lama," sambung beliau.

Beliau berharap golongan petani di negara ini mendapat pembelaan seperti di negara-negara maju yang memberi pembelaan serta kebajikan sepenuhnya kepada golongan itu.

"Tengok Jepun mahupun korea, kerajaan negara itu membela golongan petani begitu baik sekali kerana mereka tahu dengan cara itu sahaja ia dapat meningkatkan jumlah pertanian negara.

"Tetapi tidak di Malaysia, golongan ini seolah-olah dianaktirikan tanpa pembelaan, sedangkan mereka merupakan perjuang dan pengeluar makan utama negara.

"Ini langkah baik dalam kita kembalikan martabat golongan yang menjaga keselamatan negara melalui makanan utama negara," tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dalam ucapannya menyatakan melalui penggabungan itu satu resolusi baru akan dibentuk bagi menjadikan ia sebagai manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum nanti.

"Melalui penggabungan ini kita akan mengangkat martabat golongan petani, gabungan dari semua NGO peringkat negeri ini akan kita bawa kepada pihak kerajaan.

"Setelah itu satu resolusi baru akan dibentuk dan akan dijadikan satu manifesto kepada kita dalam agenda pertanian pada pilihanraya nanti, jika kita memerintah agenda ini akan kita laksanakan segera," ucap beliau.

Menurut beliau tempoh 24 tahun sejak tahun 1990 dalam pelarasan subsidi padi adalah satu tempoh yang agak lama dan seharusnya kerajaan telah melakukan pelarasan subsidi yang baru kepada golongan pesawah.

"Sampai bila golongan ini kita ingin abaikan, nasib perlu dibela. Kali terakhir adalah 1990 pelarasan subsidi dilakukan.

"Tetapi dalam tempoh 24 tahun kita lihat berapa kali harga minyak ataupun harga beras telah naik. Ini memang tidak adil, nasib pesawah melalui harga padi tidak diselaraskan tetapi nasib kroni melalui harga beras pula dibela.

"Kita desak kerajaan segera membuka mata dalam membela mereka-mereka yang menjadi pesawah agar pendapatan mereka bertambah mengikut arus peredaran ekonomi negara," katanya.

Antara NGO yang turut sama dalam GABETA adalah Maju Tani (Perlis), Bela Tani (Kedah), Badan Bertindak Pesawah Malaysia-BPPM (Kedah), Suara Tani Bangkit (Perak), Bela Nasib Pesawah Kita - BENTAK (Perak), Sahabat Tani (Selangor), Pakat (Selangor), Jejac Tani (Kelantan), Celik Tani (Terengganu) dan Gabung Tani (Johor).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal. Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

No comments:

Post a Comment

Sumbangan

Akaun Bank Islam Malaysia :
Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik
No.Akaun Bank : 02084010022679