HULURKAN BANTUAN ANDA UNTUK PROGRAM KEBAJIKAN- DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN SIK (BIMB 02084010022679)

Tuesday, 29 April 2014

Hudud: Kita nak tunggu MCA keluar BN - Tuan Ibrahim

Hudud: Kita nak tunggu MCA keluar BN - Tuan Ibrahim

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS mencabar MCA agar bertindak keluar daripada BN ekoran penentangan berterusan parti itu terhadap penerimaan positif Umno dalam isu hudud.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno secara jelas menyatakan persetujuan dan mahu bekerjasama dengan PAS ke arah perlaksanaan hukum Islam itu.

"Kalau MCA tidak bersetuju dengan Umno, mungkin MCA bertindak keluar daripada BN.
"Sekarang ini kita tengok macam mana respons dia," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Terdahulu beliau turut menghadiri pertemuan dengan wakil Kerajaan Kelantan bersama PKR dan DAP berhubung isu itu.

"Hasil perbincangan hari ini kita membuat kesimpulan bahawa perlu banyakkan penjelasan berkenaan hudud ini.

"Buat masa ini untuk menerima atau tidak terpulang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi kita pada waktu ini adalah memberi penjelasan sebaik mungkin," katanya.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan dalam usaha melaksanakan undang-undang Islam itu.

Terbaru semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan satu jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan dibentuk sebelum PAS membentang usul pelaksanaan hukum hudud di Perlimen nanti.

Muhyiddin berkata ini penting bagi membolehkan isu berkenaan dibincang terlebih dahulu dengan membabitkan banyak pihak yang pakar mengenainya.

Bagaimanapun hari ini, MCA yang juga sekutu Umno melalui sayap pemudanya mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan RUU itu atas dasar "untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan".

Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini. 

Hudud: Kelantan beri penjelasan kepada PKR, DAP

Hudud: Kelantan beri penjelasan kepada PKR, DAP

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengadakan pertemuan bersama DAP dan PKR bagi memberi penjelasan khususnya tentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan hari ini lebih kepada memberi penjelasan kerana rakan-rakan Pakatan Rakyat ingin tahu lanjut mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk membawanya ke Parlimen.

"Daripada apa yang kita jelaskan pada pandangan sayalah, positiflah... mereka faham apa yang Kerajaan Kelantan laksanakan walaupun pada dasarnya mereka tidak setuju, itu kita hormatilah.

"Sekurang-kurangnya mereka memahami pendirian dan keputusan kita," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Malah katanya, memberi pandangan yang berbeza adalah perkara biasa, yang penting mereka menghormati pendirian masing-masing.

Tambahnya, Kerajaan Kelantan bersedia untuk memberi penjelasan lanjut mengenai enakmen itu bukan hanya kepada Pakatan Rakyat bahkan wakil-wakil daripada BN seperti MCA.

"Kami di Kelantan bergantung kepada keperluan ada pihak yang mahukan penjelasan lebih lanjut kita bersedia. Kalau MCA hendak jumpa pun boleh.

"Siapa sahaja 'non muslim' ke... di mana sekali pun insya Allah kita akan datang kepada mereka jelaskan supaya mereka boleh memahami. Soal setuju atau tidak setuju itu hak masing-masing, kita tidak akan paksa," katanya.

Turut bersama dalam perbicangan itu dua Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dan Tian Chua, wakil DAP iaitu Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok

Liew Ching Tong yang ditemui berkata, pihaknya telah mengutarakan pandangan dalam perbincangan itu bahawa isu hudud adalah bukan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun perbezaan pandangan katanya, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat akan mencari titik persamaan dan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Kita masih dalam perbincangan. Kita harap semua boleh memahami isu dan risiko politik dalam isu ini. Kita telah terangkan pendirian kita, dan kongsikan pandangan masing-masing," katanya.

Hudud: Anwar gesa jangan perkecil langkah PAS

Hudud: Anwar gesa jangan perkecil langkah PAS

MUHAMMAD FAIZAL | .
PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak harus menghormati hasrat Kerajaan Kelantan untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian ke Parlimen bagi membolahkan Kanun Jenayah Syariah 1993 Kelantan dilaksanakan.

“Saya tidak fikir sesiapa pun patut menolak atau memperkecil langkah PAS berkaitan hudud. Biarkan mereka terangkan dahulu.

“Perbezaan pendapat patut ditangani dengan saling hormat menghormati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini .

Mengulas perbezaan pandangan pemimpin DAP dalam isu itu, Anwar berkata seharusnya masing-masing saling menghormati kerana enakmen undang-undang Islam itu termasuk di Terengganu wujud sebelum terbentuknya kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.

PAS dan PKR katanya menghormati pandangan DAP, dalam masa sama DAP juga harus menghormati pendirian PAS yang konsisten dalam perkara itu.

Bagaimanapun kata beliau, PAS perlu membawa isu itu ke Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat sebelum membentangkan RUU seperti yang dicadangkan itu. - 

Hudud: Saya cukup tenang sehari dua ini - TG Nik Aziz

Hudud: Saya cukup tenang sehari dua ini - TG Nik Aziz

MOHD NOR YAHYA | .
KOTA BHARU: “Saya amat gembira perkembangan semasa berkaitan hudud sekarang. Saya tidak mahu sentuh banyak soal teknikal kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Cuma saya sentuh soal dasar sahaja. Alhamdulillah hati saya cukup tenang sehari dua ni.. banyak berita baik yang saya terima dan Insya-Allah masyarakat juga menerima dengan baik,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Pada Ahad lalu beliau juga dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di rumahnya di Pulau Melaka.

Sedangkan Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, Perdana Menteri dahulu begitu bersungguh-sungguh menentang pelaksanan hudud di Kelantan.

“Saya amat bimbang kalau-kalau akan berlakunya Mageran sebab itu saya tidak melaksanakannya selepas menerima surat amaran daripada Perdana Menteri,” katanya.

Pada 15 Julai 1994 Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat amaran kepada Menteri Besar Kelantan.

Antara lain surat itu berbunyi “kerajaan pusat tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam.”

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyokong cadangan diwujudkan Jawatankuasa Teknikal melibatkan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang perundangan Islam.

Semalam Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud peringkat pusat bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu Dr Asraf Wajdi ketika ditemui berkata, tidak salah Kelantan menjadi negeri perintis melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II ketika kerajaan BN didakwanya lebih terbuka sekarang.

Saturday, 26 April 2014

Ceramah Perasmian Karnival Sambutan 30 Tahun PAS Kawasan Sik

Ceramah Perasmian Karnival Sambutan 30 Tahun PAS Kawasan Sik.
Tarikh: 24 April 2014 
Hari : Khamis
Tempat : Kompleks PAS Kawasan Sik,Kg.Sungai Pau
Perasmian oleh : YB Ustaz Idris Ahmad (MP Bukit Gantang/AJK PAS Pusat)
Penceramah: Tan Sri Muhammad Taib Muhd (Bekas MB Selangor) & YB Ir.Amirudin Hamzah (ADUN Anak Bukit/Tim.Pesuruhajaya PAS Kedah)

 AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan menyambut tetamu

 Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sik

 Pemangku YDP bersama Setiausaha


 Persembahan Marhaban

 Pengarah Jawatankuasa Karnival bersama Tuan Guru Zakaria


 Ucapan Aluan oleh Pengarah Program (Hj.Muhammad Sanusi Md Nor)











 Gimik Perasmian Karnival Sambutan 30 Tahun PAS Kawasan Sik oleh YB Ustaz Idris Ahmad






Saf pimpinan kawasan bergambar bersama YB Ustaz Idris Ahmad.

Tuesday, 22 April 2014

Karnival Sambutan 30 Tahun PAS Kawasan Sik


Kami menjemput semua ke Karnival Sambutan 30 Tahun PAS Kawasan Sik,yang akan berlangsung pada 24-27 April 2014,di Kompleks PAS Kawasan Sik,bermula pukul 9.00 pagi-12.00 malam.



Saturday, 19 April 2014

Catatan sejam bersama Humza Yousaf, Menteri Scotland



 *Catatan oleh Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Malaysia yang sedang dalam lawatan ke United Kingdom.

Pada 17 April yang lalu, saya bersama-sama Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS dan Jubri Bade, Pengerusi PAS Representative Council (PRC UK), telah bertemu Humza Yousaf - ahli parlimen di Scotland, merangkap Menteri Hubungan Luar dan Pembangunan Antarabangsa Scotland. Pertemuan ini berlangsung di pejabat The Scottish Goverment selama satu jam.

Dalam pertemuan itu, Humza memaklumkan tentang Isu yang diperjuangkan oleh Scotland ketika ini yakni memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan British. Satu referendum rakyat Scotland akan dilaksanakan pada September 2014 bagi menentukan penerimaan rakyat sama ada bersama menerima kemerdekaan atau kekal dibawah kuasa British. Humza yg beragama Islam adalah daripada parti Scottish National Party (SNP).

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilaksanakan oleh SNP, sokongan terhadap kemerdekaan telah meningkat daripada 36% kepada 47%. SNP sedang berusaha melobi bagi mendapatkan kemerdekaan.

Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Scotland untuk membenarkan referendum dilaksanakan. Jika referendum ini berjaya maka Scotland diberi masa 18 bulan untuk persiapan kemerdekaan negara mereka.

Antara isu yang pro dan kontra kemerdekaan ini adalah penggunaan mata wang pound kerajaan British. Kerajaan British tidak membenarkan Scotland yang merdeka menggunakan mata wang British. Scotland yang merdeka juga tidak termasuk EU (European Union). Permohonan untuk masuk EU akan berhadapan dengan bantahan daripada British.

Walau bagaimanapun SNP berkeyakinan penuh bahawa pendapatan hasil negeri daripada sumber petroleum, pertanian, penternakan dan lain-lain akan membolehkan Scotland mampu mentadbir negaranya sendiri. Pasukan polis dan tentera akan diberi pilihan sama ada bersama Scotland atau British.

Menariknya, SNP diberi hak untuk mempromosi agenda kemerdekaan mereka dalam media arus perdana British. Sesuatu yg tidak berlaku dalam negara kita.

Hudud di Kelantan tidak cabul persefahaman Pakatan

KEMAMAN: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tindakan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud tidak mencabul persefahaman dalam Pakatan Rakyat.

Ini, katanya kerana Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah II negeri itu sebelum wujudnya Pakatan Rakyat.

Lagipun tambahnya, apa yang diusahakan oleh Kelantan itu adalah untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri berkenaan bukannya di Malaysia.

“Kita (Kelantan) tidak cabul perjanjian Pakatan Rakyat, benda ni (hudud) sebelum Pakatan mari,” ujarnya ketika berucap pada majlis ceramah sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, malam tadi.

Turut berceramah ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan menyeru semua pihak supaya menghormati usaha kerajaan negeri itu untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II.

Menurutnya lagi, rakyat negeri itu juga mahu melihat pelaksanaan kanun jenayah syariah yang telah diluluskan oleh Dun Kelantan.

Ini, tegasnya dibuktikan dengan sokongan yang telah diberikan oleh rakyat Kelantan melalui pilihan raya umum lebih 20 tahun lalu.

Baginya, mandat yang diberikan oleh rakyat itu lebih besar daripada referendum supaya undang-undang jenayah syariah dilaksanakan.

Justeru, kata beliau memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud adalah menghormati keputusan rakyat yang terus memberikan mandat kepada PAS negeri dalam pilihan raya.

Rumah aktivis PAS Jerai musnah terbakar


YAN: Musibah menimpa bekas Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Jerai, Abdul Halim Kadir, 61 apabila rumah kayu dua tingkat yang dihuni bersama enam ahli keluarga musnah dijilat api dalam kejadian pukul 7.20 petang, 6 April lalu.
Kebakaran yang berlaku akibat litar pintas itu  memusnahkan sama sekali rumah yang terletak di No. 34A, Batu 23, Jalan Yan, dekat sini.
Selain Abdul Halim, rumah itu turut dihuni isteri Abdul Halim, Saudah Jasin, 57; anaknya, Fadzil, 39; menantunya, Che Mastura Zulkipli, 40; Farhana Halim, 25; dan dua orang cucu, Muhammad Ammar Sajjad, 8 dan Nur Zahraa' Tohirah, 11.
Selain pernah menjawat jawatan di peringkat kawasan, Abdul Halim juga bekas Majlis Ketua Kampung (MKK) Titi Serong dan Ketua PAS Cawangan Kampung Titi Serong.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian itu. Kerugian dianggarkan RM180,000.
Orang ramai yang bersimpati dengan musibah yang menimpa Abdul Halim boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam (BIMB) no.  0208 4020 0920 63.

Guna bahasa mudah macam Ustaz Azhar – Presiden PAS

KEMAMAN: “Mengapa kita tidak berperang, berperang cara darurat,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru, katanya ahli-ahli PAS hendaklah berdakwah terlebih dahulu untuk mengajak manusia supaya memilih perjuangan Islam.

“Apabila manusia halang, sekat perjuangan Islam walaupun kita pilih damai, kita ditentang dengan senjata, maka Allah mewajibkan kita tentang dengan senjata tetapi memilih damai untuk menyelamatkan manusia lebih afdal,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu yang diadakan di Kemasik, pagi ini.

Beliau berkata, dalam menjalankan kerja untuk mengajak manusia kepada perjuangan Islam, PAS memerlukan ahli-ahli dan para pendukung yang hebat.

Menurutnya, kehebatan anggota PAS itu hendaklah bersabar ketika marah di samping bersabar menghadapi orang zalim dan jahil.

“Sabar hadapi orang jahil, sabar ketika maarah, sabar kepada yang buat zalim kepada kita, dan mengajak mereka dengan bahasa yang difahami, jangan dengan bahas yang tidak difahami,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, dalam konteks dakwah di Terengganu, anggota parti hendaklah menggunakan bahasa yang mudah sebagaimana pendekatan yang dilakukan oleh penceramah yang tidak asing lagi, Ustaz Azhar Idrus.

“Di Terengganu guna bahasa lebih mudah macam Ustaz Azhar, jangan bahasa yang tinggi. Kalau tak pandai berhujah, jangan pergi biar orang yang pandai berhujah,” ujarnya lagi.

Umno sokong hudud positif, dalam hati urusan Allah

Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan anugerah kepada sorang pemimpin veteran PAS Kemaman.
KEMAMAN: PAS menerima sesiapa sahaja yang menyokong pelaksanaan hukum hudud termasuk dalam kalangan pemimpin Umno, tegas Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Alhamdulillah, mereka sokong hudud, urusan hati itu urusan Allah.

“Kita terima orang yang sokong hudud, siapa sahaja termasuk bukan Islam,” ujarnya semasa berucap merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, hari ini.

Menurutnya, perkembangan positif itu adalah hasil dakwah yang bijak yang dijalankan secara berterusan oleh pendukung parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS sentiasa konsisten menyampaikan dakwah walaupun terdapat dalam kalangan pemimpin Umno yang mempersenda pelaksanaan undang-undang syariah.

Menurut beliau, ada di antara pemimpin Umno yang jahil berkata ‘boleh buat sup tangan’, ‘habis batu tak boleh buat jalan raya’ jika hukum hudud dilaksanakan tetapi PAS terus berdakwah memberikan kefahaman mengenai undang-undang itu.

Bagaimanapun, ujarnya apa yang dikesalkan pada waktu itu ada dalam kalangan orang PAS yang gopoh menuduh pemimpin Umno yang membuat kenyataan seperti itu sebagai kafir.

“Tanpa diduga orang yang kafirkan Umno masuk Umno,” katanya lagi.

Katanya, melalui dakwah bijak yang dilakukan oleh PAS memberikan penerangan berterusan mengenai undang-undang jenayah Islam telah difahami rakyat termasuk dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan.

Ini, jelas beliau dapat dilihat apabila pegawai-pegawai tinggi ini bersara, mereka telah memilih untuk bersama dengan PAS bahkan menjadi calon PAS pada pilihan raya umum.

“Ini tanda dakwah kita telah masuk ke jabatan kerajaan. Jadi kita bina kekuatan rakyat,” katanya lagi. 

Hudud: Masa depan PR dalam ilmu Allah – TG Abdul Hadi

KEMAMAN: “Dalam ilmu Allah, bukan ilmu saya,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjwab pertanyaan media berhubung masa depan Pakatan Rakyat berikutan usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud.

Beliau menjelaskan, ini kerana pelaksanaan hukum hudud merupakan agenda perjuangan PAS dan bukannya Pakatan Rakyat.

Begitupun, Ahli Parlimen Marang itu optimis mereka yang memahami undang-undang jenayah syariah itu boleh menerimanya termasuk daripada kalangan bukan Islam.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang boleh menerima pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukum hudud.

Sehubungan itu, katanya PAS menunggu keikhlasan semua pihak berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 1993.

“Kita terima positif perkara yang berkait dengan Kelantan ini dan kita serah ikut cara Kelantan.

“PAS Pusat sokong sepenuhnya apa yang diusahakan oleh Kelantan itu,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, tengah hari tadi.

Turut serta pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung dan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali dan Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Jelasnya lagi, sebelum Dun Kelantan meluluskan undang-undang berkenaan, ia telah melalui proses yang betul dan mengikut amalan demokrasi.

Katanya, undang-undang tersebut telah disusun dengan penglibatan tokoh undang-undang syariah dan semasa seperti almarhum Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Tun Mohd Salleh Abas.

Selain itu, katanya NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput oleh kerajaan negeri pada satu majlis yang diadakan di Hotel Concorde di ibu negara untuk memberikan pandangan berhubung undang-undang jenayah syariah itu sebelum dibawa ke persidangan Dun.

Bahkan, jelas beliau lagi, pihak badan Hak Asasi Manusia dunia juga diberi penjelasan mengenai undang-undang itu.

Wednesday, 16 April 2014

Takziah diucapkan kepada keluarga Karpal Singh...

Kami Pemuda PAS Kawasan Sik mengucapkan takziah kpd keluarga YB Karpal Sing yg meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan - Gopeng sebentar tadi. Moga pihak keluarganya bersabar dgn kesedihan yang menimpa mereka.





Tuesday, 15 April 2014

Petani kecil gegar negara jika berhenti hasil makanan

KUALA LUMPUR: Petani kecil seperti di Malaysia kerap terpinggir akibat kerajaan ghairah untuk membuka pasaran kepada produk dari luar.

“Sebab itu suara dari hati nurani petani kecil perlu diberi perhatian serius,” ujar Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya isu yang dibangkitkan oleh petani mengenai nasib mereka adalah serius dan tidak dapat diselesaikan oleh pertubuhan peladang yang sedia ada.

“Hak petani untuk mendapat tanah dan harga hasil yang berpatutan yang memberi kesan kepada nasib petani kecil bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia suara yang boleh menggegarkan negara jika petani berhenti dari menghasilkan makanan,” katanya lagi.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Penubuhan Gabungan NGO Membela Hak Petani (GABETA) adalah suatu usaha yang wajar. Nasib kira-kira 250,000 petani yang bergantung nasib kepada pengeluaran hasil pertanian belum cukup terbela.

Hampir 170,000 petani terlibat dalam sektor padi. Jika diteliti secara terperinci petani kecil masih tidak terjamin berdasarkan  trend harga hasil tani yang tidak menentu akibat dari sistem harga yang tidak disemak semula terutama harga padi bagi petani kecil.

Kewujudan pelbagai agensi petani seperti Jabatan Pertanian, MARDI, FAMA, LPP, LKIM belum cukup membantu bila dilihat taraf hidup petani kecil di negara ini.

Sebenarnya petani di seluruh dunia sebagai golongan yang berperanan membekal makanan kepada populasi dunia kini menunjukkan mereka adalah golongan yang sedang menghadapi manipulasi dan penafian hak bukan sahaja  oleh syarikat multinasional malah juga oleh kerajaan yang diperalatkan oleh syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Bunge, Cargill, Continental dan Louis Dreyfus yang menguasai pertanian bijiran diseluruh dunia sejak 100 tahun dulu.

Dalam konsep ekonomi semasa bila segelintir pihak menguasai 40% atau lebih sesuatu pasaran, maka pasaran tersebut hilang daya persaingan yang adil. Demikian sektor pertanian kini dikuasai oleh hanya sebilangan kecil syarikat korporat dunia yang menentukan harga hasil tani di seluruh pasaran global.

Dalam pertanian "perniagaan tani" ( agrobisnes ) menjadikan syarikat korporat menguasai dan menekan pasaran yang kompetitif. Agrobisnes  yang dikendalikan berjalan berdasarkan prinsip komersial. Menguasai pasaran adalah objektif terpenting dan dengan itu meningkatkan keuntungan menjadi fokus.

Hakikatnya berjuta petani kecil didunia yang berusha menghasilkan makanan tidak mampu menyara keluarga mereka sendiri.

Majoriti  petani kecil tidak mempunyai modal yang cukup untuk membeli benih, baja dan mendapatkan teknologi untuk menghasilkan tuaian yang memadai untuk hidup.

Bukan sahaja hak akses kepada pelbagai input pertanian dinafikan malah nasib mereka diperjudikan apabila petani diikat dengan pelbagai perjanjian perdagangan yang ditandatangi oleh kerajaan-kerajaan di dunia ketiga dengan kerajaaan negara maju.

Malangnya banyak perjanjian itu yang memberi kesan negatif kepada petani tidak merujuk kepada kaum petani untuk mendapat pandangan balas.

Akibatnya, gerakan petani besar-besaran diseluruh dunia bangkit menentang kerajaan yang bersekongkol dengan konglomerat multinasional dari kuasa besar. Ini berlaku di Jepun, India, Indonesia, Pakistan, Brazil, Chile, Thailand dan Filipina.

Dalam sidang perdagangan antarabangsa sepertii Organisasi Perdagangan Dunia ( WTO) dan Bank Dunia yang melibatkan negara dunia ketiga dan kuasa besar, ribuan petani berhimpun kerana menentang perjanjian yang merugikan mereka. Malangnya kerajaan yang mewakili  petani dari negara mereka sendiri tunduk kepada tekanan negara kuasa besar.

Sehingga ini perjuangan petani sangat rumit kerana sektor pertanian sudah terdedah kepada manulasi pelbagai kuasa pasaran global yang tidak membantu untuk mendapatkan petani terutama petani kecil.

Akses kepada benih yang mereka mahu sehingga peluang mendapat  pasaran, yang lebih baik, kemudahan untuk mendapat kredit yang tidak menindas, bebas dari eksploitasi orang tengah, bebas dari pelbagai eksploitasi oleh syarikat dan agensi pemerintah yang turut berpihak kepada syarikat yang menindas petani.

Kami berpendirian para petani sangat besar jasanya kepada menjamin sekuriti makanan negara. Akan tetapi petani tetutama petani kecil adalah golongan antara yang paling terbiar dan menghadapi risiko berada dalam miskin tegar apabila sektor pertanian tidak diurus dengan berkesan oleh pihak kerajaan.

Dasar Pertanian Negara memang menekankan pertanian yang berdaya saing, meningkatkan kualiti hasil, memodenkan usaha pertanian. Namun dengan terlibatnya kerajaan dalam perjanjian perdagangan antarabangsa, sektor pertanian sering menjadi tumpuan oleh kuasa besar sehingga petani kecil dalam negara menjadi mangsa akibat lambakan produk pertanian dari luar. Sementara polisi perlindungan kepentingan petani di negara kuasa besar tetap dipertahankan, petani kecil seperti di Malaysia kerap terpinggir akibat kerajaan ghairah untuk membuka pasaran kepada produk dari luar.

Sebab itu suara dari hati nurani petani kecil perlu diberi perhatian serius. Keluhan mereka sejak dari dulu mengenai pelbagai isu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya seperti mengurangkan kos input pertanian dan  mendapat jaminan bila harga hasil pertanian mereka sangat rendah. Nasib ribuan petani kecil terjejas kerana pendapatan yang tidak menentu.

Isu yang dibangkitkan oleh petani mengenai nasib mereka adalah serius dan tidak dapat diselesaikan oleh pertubuhan peladang yang sedia ada. Hak petani untuk mendapat tanah dan harga hasil yang berpatutan yang memberi kesan kepada nasib petani kecil bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia suara yang boleh menggegarkan negara jika petani berhenti dari menghasilkan makanan.

Sunday, 13 April 2014

PROMO KARNIVAL SAMBUTAN 30 TAHUN PAS KAWASAN SIK

Tuntut hak: Petani perlu tahu apa yang patut dilakukan

SABAK BERNAM: Lajnah Asas Tani PAS Pusat telah melancarkan Gabungan NGO Membela Hak Petani (GABETA) yang terdiri dari 15 NGO dari seluruh negara.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar,  malam tadi. (Gambar atas)

Mohamad dalam ucapan perasmiannya menyambut baik penggabungan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu langkah tepat dalam memperjuangkan nasib para petani menuntut hak mereka.

"Orang Melayu kita lihat mereka agak dingin dalam menuntut hak mereka berbanding kaum lain.

"Tetapi dengan penubuhan NGO ini ia merupakan satu petanda baru bahawa mereka sedar akan hak yang sepatutnya tuntut dan perolehi," ucap beliau di hadapan kira-kira 400 orang yang hadir.

Katanya lagi, rakyat Malaysia khususnya golongan petani tidak perlu malu dalam menuntut hak mereka dan sebagai petani mereka perlu tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

"Saya tidak menolak yang kita perlu berterima kasih kepada kerajaan dalam subsidi yang diberikan kepada golongan petani seperti racun atau baja.

"Tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu sedar bukan sekadar itu sahaja yang kita perolehi tetapi ada banyak lagi yang patut kita dapat.

"Subsidi diberikan, adakah ia sepenuhnya diberikan kepada kita, itu persoalan yang perlu dijawab selain dari tuntutan lain terutamanya masalah kepada golongan pesawah yang tertindas sejak sekian lama," sambung beliau.

Beliau berharap golongan petani di negara ini mendapat pembelaan seperti di negara-negara maju yang memberi pembelaan serta kebajikan sepenuhnya kepada golongan itu.

"Tengok Jepun mahupun korea, kerajaan negara itu membela golongan petani begitu baik sekali kerana mereka tahu dengan cara itu sahaja ia dapat meningkatkan jumlah pertanian negara.

"Tetapi tidak di Malaysia, golongan ini seolah-olah dianaktirikan tanpa pembelaan, sedangkan mereka merupakan perjuang dan pengeluar makan utama negara.

"Ini langkah baik dalam kita kembalikan martabat golongan yang menjaga keselamatan negara melalui makanan utama negara," tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dalam ucapannya menyatakan melalui penggabungan itu satu resolusi baru akan dibentuk bagi menjadikan ia sebagai manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum nanti.

"Melalui penggabungan ini kita akan mengangkat martabat golongan petani, gabungan dari semua NGO peringkat negeri ini akan kita bawa kepada pihak kerajaan.

"Setelah itu satu resolusi baru akan dibentuk dan akan dijadikan satu manifesto kepada kita dalam agenda pertanian pada pilihanraya nanti, jika kita memerintah agenda ini akan kita laksanakan segera," ucap beliau.

Menurut beliau tempoh 24 tahun sejak tahun 1990 dalam pelarasan subsidi padi adalah satu tempoh yang agak lama dan seharusnya kerajaan telah melakukan pelarasan subsidi yang baru kepada golongan pesawah.

"Sampai bila golongan ini kita ingin abaikan, nasib perlu dibela. Kali terakhir adalah 1990 pelarasan subsidi dilakukan.

"Tetapi dalam tempoh 24 tahun kita lihat berapa kali harga minyak ataupun harga beras telah naik. Ini memang tidak adil, nasib pesawah melalui harga padi tidak diselaraskan tetapi nasib kroni melalui harga beras pula dibela.

"Kita desak kerajaan segera membuka mata dalam membela mereka-mereka yang menjadi pesawah agar pendapatan mereka bertambah mengikut arus peredaran ekonomi negara," katanya.

Antara NGO yang turut sama dalam GABETA adalah Maju Tani (Perlis), Bela Tani (Kedah), Badan Bertindak Pesawah Malaysia-BPPM (Kedah), Suara Tani Bangkit (Perak), Bela Nasib Pesawah Kita - BENTAK (Perak), Sahabat Tani (Selangor), Pakat (Selangor), Jejac Tani (Kelantan), Celik Tani (Terengganu) dan Gabung Tani (Johor).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal. Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Saturday, 12 April 2014

PAS: Tahaaluf siasi dan hudud - NASRUDIN BIN HASSAN

1.Tahaaluf Siasi ialah Kerjasama Politik. Ia dijalin dengan parti yang berbeza ideologi untuk bekerjasama dalam mendepani perkara yang disepakati bersama seperti membasmi rasuah, menentang kezaliman dan menolak penindasan. Terdapat di sana perkara yang tidak disepakati, maka ia urusan perjuangan dan tindakan parti masing-masing.

2.Tahaaluf Siasi adalah kerjasama politik. Justeru itu, ia hanya mencakupi urusan politik tanpa sekali-kali melibatkan dasar dan prinsip parti yang diperjuangkan. Masing-masing parti yang menjadi kompenan tahaaluf siasi tidak boleh mencampuri, memaksa apatah lagi menghalang dasar perjuangan yang dianut oleh parti-parti kompenan yang lain.

3.Tahaaluf Siasi adalah kerjasama politik bukan kerjasama dasar perjuangan, juga bukan kerjasama fikrah, ibadah dan akidah. Ia kekal menjadi parti yang berbeza dengan sempadan masing-masing namun bekerjasama di antara satu sama lain dalam perkara yang dimeterai bersama.

4.Hudud ialah Kanun Jenayah Syariah Islam yang adil dan bijaksana justeru ia adalah bersumber daripada Allah SWT Tuhan yang mencipta manusia dan sekelian alam. Suatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT secara muhkamat lagi muktamad di dalam al-Quranil Karim dan ia merupakan sebahagian daripada Syariat Islam yang wajib ditegakkan oleh hamba Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

5.Hudud adalah hukum Islam dan ia sebahagian daripada keseluruhan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS malah termaktub di dalam perlembagaan PAS bahawa Islam adalah dasar PAS. Benar, ia bukan agenda dan perjuangan Pakatan Rakyat tetapi ia adalah dasar dan agenda perjuangan PAS. Insya-Allah PAS akan mengemukakan Private Bill di Parlimen ke arah implementation Kanun Jenayah Syariah Islam II (Hudud) di Kelantan setelah sekian lama ia di luluskan di DUN Kelantan.

6.Hudud adalah juzuk Islam yang tidak boleh diperkecilkan. Ia adalah solusi kepada isu nasional yang sekian lama buntu ditangani oleh undang-undang dan peraturan manusia. Ini adalah masa terbaik untuk PAS mengemukakannya ke Parlimen, sementelah pula Menteri di Jabatan Menteri membuka laluan agar Private Bill dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Ahli Parlimen muslim sewajibnya menyokong demikian juga Ahli Parlimen non muslim diharapkan turut memberi sokongan kerana ia adalah undang-undang Allah SWT yang adil untuk semua.

7.Justeru, membentang "Private Bill" Kanun Jenayah Syariah Islam (Hudud) ke Parlimen tidak akan menjejaskan Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik PAS dengan parti-parti rakan yang lain. Sebagaimana Tahaaluf Siasi juga bukanlah penghalang untuk PAS membentang Private Bill tersebut ke Parlimen.

Adakah Mahathir berbohong di Parlimen? - SUBKY LATIF

Betapa Dr Mahathir dikatakan berada di China pada ketika kecelakaan berdarah di Memali tahun 1985 adalah tidak betul. Dia masih belum berangkat dan dia dinasihatkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato Musa Hitam supaya membatalkan kunjungan itu dan pergi ke Kedah menyelesaikannya kerana ia berlaku di negerinya sendiri.
    
Tun Musa memberitahu saya sendiri hal ini di pejabatnya tidak lama selepas kejadian itu. Dan ia disebutkan pula oleh Tun Musa di Kelantan baru-baru ini.
   
Apakah selepas dua hari atau tiga hari baru dia ke sana, adalah ketepatan yang  tidak penting, yang pentingnya dia belum lagi berlepas.
   
Sekarang timbul soal Perdana Menteri itu berbohong. Apabila dia belum berlepas dikatakannya dia sudah berada di sana, dia sudah bercakap tidak betul. Bercakanp tidak betul, ertinya dia berbohong.
   
Cuma yang hendak dipastikan sekarang ialah adakah dia berbohong di Parlimen atau di luar Parlimen atau kedua-dua sekali di Parlimen dan di luar Parlimen. Di mana jua dia bercakap, tetap dia berbohong.
   
Tetapi ada kesan moral yang lebih buruk kalau dia berbohong di Parlimen. Sekadar berbohong di luar Parlimen dikira berdoa kepada agama Islam. Pada yang bukan Islam dosa itu tidak dihiraukan  sangat. Dosa yang lebih besar pun mereka  tidak kira.
  
Tetapi berbohong di Parlimen dikira salah oleh semua. Parlimen diterima oleh semua yang bermoral dan bertamadun sebagai Dewan yang mulia yang  anggotanya tidak boleh berbohong. Amat marah masing-masing kalau Parlimen dicemari.
   
Rakyat Britain seluruhnya amat marah kepada John Profumo, Menteri Perang pada zaman Harold MacMilan menjadi Perdana  Menteri. Pada  zamannyalah kemerdekaan Tanah Melayu dicapai.
   
John Profumo terlibat dengan skandal zina dalam isu Christine Keeler yang melibatkan sama diplomat Soviet Union. Skandel itu amat sensitif kepada Britain  kerana  ia melibat keselamatannya. Apakah melalui asmara  tiga segi itu rahsia dibocorkan kepada Soviet?
   
Profumo menafikannya di Parlimen. Akhirnya setelah perkara itu terus dikorek publik, John Profumo mengaku hubungannya dengan nona itu. Riuh rendah negara. Dia didesak meletakkan jawatan dan dia meletakkan jawatan. Menteri Perang adalah jawatan boleh menggantikan Perdana Menteri.
   
Wartawan kanan Britain yang menjadi tok guru saya dan berpuluh lagi pelatih wartawan Malaysia tahun 1963, Mr Brawn namanya menjelaskan kepada kami di  Kuala Lumpur, kesalahan yang rakyat Britain marah kepadanya ialah kerana dia berbohong di Parlimen.
   
Sekalipun yang mula dibangkitkan adalah kemungkinan skandal zinanya, tetapi bagi kebanyakan orang, zina itu adalah kelemahan manusia dan siapa di antara mereka yang bebas dari kelemahan itu. Ia tidak  sensitif bagi mereka.
   
Parlimen tidak boleh terima ialah dia berbohong di Parlimen. Sekalipun dia minta maaf kepada semua atas pembohongannya, kerana ia dibuat di Parlimen, dia tidak dapat dimaafkan. Kelayakannya sebagai ahli Parlimen dipersoal.
   
Isu  Mamali itu tidak sekadar berbangkit di Parlimen bahkan kertas putih mengenainya telah dibentangkan. Pembentangan kertas putih itu telah dibangkit sebagai antara hal yang dibohongi. Kisah dia masih ada dalam negeri tetapi dikatakan sudah berada di Beijing adalah satu pembohongan. Ada tidak pembohongan ini dibuat di Parlimen dan adakah kandungan kertas putih itu juga mengandungi pembohongan kepada Parlimen?
   
Apa kedudukan seorang anggota Parlimen yang menjadi Perdana Menteri pula jika dibuktikan dia berbohong di Dewan yang mulia? Adakah dia layak lagi menerima segala kemudahan sejak ia  dilakukan termasuk pencen Parlimen?

Jangan dengki dengan rezeki orang lain - TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Satu hari si penoreh getah mengikut si nelayan ke laut untuk menangkap ikan. Si penoreh duduk di belakang kapal manakala nelayan di depan.

Laut yang agak bergelora menyebabkan si penoreh agak terumbang-ambing. Melihat si nelayan asyik berjaya mengail ikan tapi tidak dia, si penoreh meminta untuk menukar posisi memancing dengan si nelayan.

Si nelayan pun menukar posisi, namun situasinya sama, si penoreh masih tidak dapat mengail seekor ikan. Ikan-ikan semua seolah-olah lari mengikut si nelayan.

Mungkin ini adalah masalah joran. Maka si penoreh pun meminta menukar joran dengan si nelayan. Situasi tetap sama – hanya si nelayan mendapat ikan. Laut makin bergelora, si penoreh mengalami mabuk laut dan muntah-muntah.

Sesudah tiba di darat, si penoreh berkata: “Susah nak cari makan di laut. Elok buat kerja aku, lagi mudah.”

Pada satu hari, si nelayan mengikuti si penoreh ke ladangnya dan mencuba menoreh getah.

Ada 1,000 pokok yang perlu ditoreh bermula sebelum subuh. Si nelayan mengeluh susah. Masa menoreh, si nelayan cuai, tangan terkena sabit. Ketika ingin berehat, si nelayan terlanggar bekas menadah getah dan semua tertuang di atas kepalanya.

Si penoreh menoreh pokok getah dengan cukup senang tanpa sebarang gangguan.

“Susah betul kerja toreh getah. Tangkap ikan lagi mudah,” kata si nelayan.

Wahai anakku,
Rezeki kamu sudah ditentukan. Asalkan kamu berusaha, kamu akan mendapatnya. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Bersyukur pada rezeki yang Allah kurniakan pada kamu. Usah iri hati pada rezeki orang lain. Ada orang yang memang rezekinya di darat menoreh getah, dan ada yang di laut menangkap ikan.

Setiap bidang ada cabarannya sendiri, namun asalkan hati kamu sentiasa dekat dengan Allah, kamu akan melihat segalanya dalam bentuk kesyukuran dan medan latihan untuk mempertingkatkan diri sebelum misi seterusnya.

Senyum

Kembali ke pangkal jalan - NASRUDIN HASSAN

Pihak kami mendapat maklumat satu lagi pesta tidak bermoral bakal berlangsung. Poster pesta ini telah dimuat naik ke serata laman sosial.

Jika benar pesta ini dianjurkan dan mendapat kelulusan, kami mengutuk penganjuran pesta Topless Friday Beach Party yang akan diadakan di The Pool, Jalan Ampang pada 11 April 2014 (Jumaat) ini.

Jika penganjuran ini masih akan diteruskan, ia jelas mencabar kuasa Allah dan mengundang murka-Nya yang lebih besar lagi.

Pesta liar begini didapati banyak dianjurkan di sekitar kawasan ‘Segi Tiga Emas Kuala Lumpur’ hampir setiap malam terutama di premis-premis persendirian. Seolah-olah pesta-pesta liar ini tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa tempatan dan juga pihak berkuasa agama negeri.

Tidak keterlaluan jika premis-premis ini dilindungi oleh sindiket kumpulan mafia sehingga ia dilihat kebal dengan peruntukan undang-undang.

Kami menggesa pihak Jabatan Agama Islam (JAWI), pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur segera mengambil tindakan ke atas mana-mana premis yang didapati mengadakan pesta liar, keterlaluan dan bercanggah dengan undang-undang.

Kami menjadikan precedent cases seperti penguatkuasaan undang-undang di sebuah pub The Ship, Damansara Utama pada 10 Jun 2000 dan penguatkuasaan undang-undang di The Zouk, Jalan Ampang pada 13 Januari 2005 yang melibatkan intervensi politik daripada pihak kerajaan sebagai justifikasi yang releven untuk diambil tindakan.

Kami akan terus menyokong penguatkuasaan ini dan percaya ia bahawa tindakan tersebut menurut lunas perundangan yang sah.

Walaupun begitu, kami akui isu ini akan didebatkan kerana seringkali penguatkuasaan undang-undang anti-maksiat dilakukan, ia seringkali diganggu oleh pihak-pihak tertentu yang menganggapnya sebagai tingkah laku moral yang bersifat urusan peribadi.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Sumbangan

Akaun Bank Islam Malaysia :
Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik
No.Akaun Bank : 02084010022679