Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR Lee Chin Cheh
yang meletakkan jawatan hari ini mengatakan beliau mengosongkan kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di
Selangor.
Lee yang baru sahaja menjadi Adun selepas pilihan raya 5 Mei lalu juga
mengucapkan terima kasih kepada pengundi Kajang yang memberikan
kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat.
"Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang adalah untuk
kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat
untuk rakyat Selangor," kata Lee dalam satu kenyataan kepada The
Malaysian Insider.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua
pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil
rakyat DUN N25 Kajang."
Sumber PKR mengatakan peletakan jawatan Lee bertujuan untuk memberi
laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi tersebut
bagi membolehkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.
Bagaimanapun satu lagi sumber mengatakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bakal mengisi kekosongan kerusi DUN tersebut.
Surat peletakan jawatan Lee diserahkan kepada Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh hari ini.
Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menggantikan Lee Kim Sin yang popular sebagai Adun Kajang dalam PRU13.
Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi berbanding calon Barisan Nasional Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.
Menurut undang-undang, kata Yeoh, Suruhanjaya Pilihan Raya harus
mengadakan pilihan raya di kerusi DUN Kajang dalam tempoh 60 hari.
The Star Online melaporkan pagi ini Abdul Khalid sudah bersetuju untuk
meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat.
Laporan yang memetik sumber dalaman PKR itu menyebut Abdul Khalid dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan pada Rabu ini.
Mereka berkata, Anwar akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, kedua-dua Abdul Khalid dan Anwar menafikan laporan itu.
Peletakan jawatan Lee sebagai Adun Kajang menguatkan lagi dakwaan tersebut.
Lewat petang tadi Abdul Khalid mengatakan beliau bersedia melepaskan
jawatannya sekiranya PR sudah mencapai konsensus mengenai penggantinya.
"Saya boleh berundur sekiranya pakatan pembangkang mencapai konsensus
untuk menggantikan saya tetapi tiada perbincangan mengenainya sehingga
kini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran
buku 'Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress' di
Kuala Lumpur, hari ini.
No comments:
Post a Comment