Ku Li Cabar Najib
Hanya berselang beberapa jam setelah Tengku Razaleigh Hamzah melontarkan
cabaran kepada Najib agar semua yang bergelar pemimpin, termasuk
dirinya berani mengisytiharkan harta masing-masing kepada umum sebagai
langkah menangani rasuah dan mengembalikan kepercayaan umum, terdedah
pula berita mengenai anak seorang menteri yang berjawatan pegawai khas
didapati membeli sebuah banglo mewah bernilai lebih RM7 juta.
Ia sekaligus menjadikan cabaran Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan saja
terlihat sangat relevan tetapi sesuatu yang tidak seharusnya dielakkan
oleh Najib jika benar beliau mahu melihat Umno dan pemimpinnya
dipulihkan imejnya dan seterusnya diyakini rakyat untuk suatu tempoh
lebih lama lagi.
Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Chegu
Bard semalam mendedahkan maklumat serta gambar anak Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang bernama Nedim didapati membeli sebuah
banglo mewah di Glenmarie, Shah Alam dengan harga lebih RM7 juta yang
diragui keupayaan memiliki hartanah itu memandangkan usianya yang masih
muda.
SAMM juga segera menuntut penjelasan Nazri mengenai pembelian hartanah
itu serta kemampuan kewangan anaknya yang begitu muda tetapi sudah boleh
membeli sebuah banglo mewah.
Selain dilanda berbagai kontroversi sebelum ini, tindakan Nazri melantik
anaknya sebagai pegawai khas di kementeriannya juga ditegur Perdana
Menteri yang menyifatkan anak dan ahli keluarga menteri secara
prinsipnya tidak boleh bekerja di kementerian tetapi hanya dibenarkan di
kawasan Parlimen sahaja. Lantaran itu, Nedim kemudian ditugarkan
sebagai pegawai khas di Parlimen Padang Rengas dengan dengan tugas
khusus berkaitan generasi muda atau Gen Y.
Dan sepertimana biasa, Nazri tetap menjawab sebarang kontroversi dengan
caranya yang tersendiri. "Itu bukan masalah saya," tegasnya.
Memanglah Nazri boleh berdalih dengan mengatakan urusan anaknya yang
sudah dewasa itu bukan lagi urusannya tetapi bolehkah rakyat
mempercayainya? Sebagai pemimpin, seseorang itu bukan sekadar
bertanggungjawab terhadap partinya tetapi juga kepada rakyat yang
membayar cukai dan mengharapkan seseorang pemimpin itu benar-benar
seorang yang amanah dan berwibawa.
Rakyat tentunya meragui jika ada anak atau ahli keluarga seorang menteri
dilihat bergaya mewah dan berbelanja di luar kemampuan yang sewajarnya.
Sebenarnya tidak sahaja Nazri yang terkait dengan gaya mewah dan
berbelanja di luar kemampuan itu, perlakuan anak isteri beberapa menteri
dan timbalan menteri yang lain juga turut menjadi perbualan umum.
Ada yang sering kelihatan ke sana-sini dengan kereta mewah, ada yang
gila berparti, ada yang terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan dan
pemilikan saham, gemar membeli-belah di luar negara dan berbagai lagi.
Kedengaran juga ada anak seorang menteri yang menaiki kereta Mini Cooper
untuk ke kelas tuisyen.
Anak isteri Najib sendiri tidak putus-putus terpalit dengan isu sama.
Daripada beg tangan mewah, perhiasan mahal, baju bersilih-ganti,
percutian mewah sehinggalah kepada cincin bernilai RM24 juta, semuanya
memberi gambaran buruk wajah sebenar pemimpin yang ada di negara ini.
Kepada rakyat, kekayaan dan kemewahan keluarga pemimpin akan segera
dikaitkan dengan perbuatan rasuah. Ini kerana rasuah adalah cara paling
mudah untuk memperolehi wang dan kekayaan bagi mereka yang mempunyai
kuasa. Rasuah juga memburukkan imej parti dan kerajaan. Jika tidak
ditangani, rasuah adalah barah yang akan membunuh seluruh nilai murni
dalam kehidupan.
Lantaran itu, sebagai pemimpin veteran yang penuh pengalaman, Tengku
Razaleigh sedar bahaya dan impak buruk daripada rasuah itu. Kalau pun ia
tidak menghancurkan Umno dan kerajaan dalam waktu yang terdekat ini,
lambat-laun bala daripadanya pasti akan tiba.
Dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup makin meningkat serta
pelbagai bebanan lain yang ditanggung rakyat tetapi dalam masa sama
kerap pula timbul cerita negatif tentang kemewahan dan kekayaan pemimpin
dan keluarganya, persepsi rakyat terhadap golongan pemimpin turut
bertambah buruk.
Untuk mengembalikan keyakinan rakyat serta membuang persepsi rasuah itu,
Tengku Razaleigh mencabar Najib dan semua pemimpin dan bekas pemimpin,
termasuk dirinya mengisytiharkan harta masing-masing supaya rakyat
akhirnya boleh membuat penilaian.
Dalam hal ini adalah wajar Najib menyahut cabaran Ku Li itu bagi
membuktikan dirinya serta pasukannya dalam kerajaan terdiri daripada
mereka yang benar-benar berwibawa, berintergeriti dan diyakini rakyat.
Dalam dunia moden yang menuntut ketelusan, pengisytiharan harta secara
terbuka adalah kaedah paling baik menentukan bersih atau tidaknya
seseorang pemimpin itu.
Tidak diragui lagi, kes terbaru melibatkan anak Nazri yang membeli
hartanah mewah yang di luar kemampuan seorang anak muda sepertinya
adalah umpama mendalam dan membesarkan lagi kubur Umno. Kes ini
menambahkan lagi keraguan dan kecurigaan rakyat terhadap Umno dan
kerajaan. Mungkin ia tidak menyebabkan kerajaan tumbang atau kedudukan
Najib tergugat dalam waktu yang dekat ini tetapi dalam jangka masa
panjang, itulah sebenarnya penyebab utama kejatuhan banyak kerajaan di
dunia ini.
Sekiranya Najib masih sayangkan Umno, ingin melihatnya bersih dan terus
berkuasa, beliau tidak harus berlengah lagi untuk menyahut cabaran Ku Li
itu. Ayuh, segera arahkan semua pemimpin, bekas pemimpin dan
keluarganya untuk mengisytiharkan harta masing-masing. Najib mestilah
menjadi orang yang pertama mendedahkan nilai hartanya kepada umum,
kemudian diikuti oleh semua menterinya.
Ku Li yang sudah menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian, harus juga
menuruti langkah itu. Mahathir dan semua bekas pemimpin juga mesti
menyokong langkah ini. Walaupun tidak lagi bergelar pemimpin, anggaplah
tindakan itu sebagai pengorbanan kepada parti yang menjadikan mereka
pemimpin sebelum ini.
Cabaran Ku Li kepada Najib adalah relevan untuk membersihkan imej Umno
dan kerajaan supaya ia diterima rakyat sepanjang masa. Selebihnya
terserahlah kepada Najib.
Sebab itu, walaupun Tengku Razaleigh yang sebelum ini diura-urakan bakal
mencabar Najib bagi jawatan Presiden Umno, masih tidak bersedia berbuat
demikian lantaran wujudnya beberapa kekangan, selain mendapati ahli
Umno belum benar-benar sedia kepada perubahan, cabarannya berkaitan
pengisytiharan harta ini tidak lain menunjukkan kasih dan sayangnya yang
berterusan kepada parti.
Walaupun tanpa jawatan dan kedudukan, Ku Li merasakan beliau masih bertanggungjawab mengutarakan perubahan. ~
shahbudindotcom