MERCU TANDA BARU PAS KEDAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Bangunan pejabat pentadbiran enam tingkat bakal menjadi mercu tanda baru PAS Kedah dalam misinya untuk kembali menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri.
Tekad itu dipacu segera menerusi penganjuran majlis makan malam pelancaran dana yang disempurnakan perasmiannya oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 4 April lalu.
Pembinaan tersebut merupakan kesinambungan pelan asal binaan keseluruhan Kompleks PAS Kedah yang telah disempurnakan perletakan batu asas pembinaannya sejak tahun 2001 oleh Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Pada ketika ini, tapak kompleks menempatkan enam unit kedai setingkat, sub stesen janakuasa TNB, rumah tetamu, dewan utama, masjid dan kompleks anak yatim. Namun, perancangan asal yang belum terlaksana melibatkan pembinaan 32 unit pondok moden, satu blok bangunan penginapan, dewan makan dan bangunan pejabat pentadbiran tersebut.
Sesuai peredaran masa, cadangan rupa asal bangunan pentadbiran tersebut juga diubah kepada rekabentuk lebih moden dengan anggar kos sebanyak RM8 juta termasuk kerja-kerja pengubahsuaian dewan utama dan kelengkapan perabot.
PAS Kedah dalam sejarah pentadbiran selepas penubuhannya bermula dengan menyewa bangunan kedai beralamat No.175, Guar Chempedak, Gurun pada tahun 1967. Berlokasikan pejabat di situ menyebabkan Tunku Abdul Rahman menyindir dengan kata-kata bahawa PAS Kedah tidak akan berjaya kerana tidak berani berada di tengah Bandar Alor Setar.
Tetapi, setahun selepas itu, PAS yang dilihat sebagai parti pondok mengejutkan banyak pihak apabila memulakan kerja-kerja pembinaan Bangunan PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar. Dalam tempoh pembinaan yang berlangsung selama dua tahun itu, PAS Kedah terlebih dahulu memindahkan operasi pentadbirannya ke sebuah rumah di Jalan Teluk Wanjah.
Hinggalah pada tahun 1996, PAS Kedah yang dipimpin Dato’ Ustaz Fadzil memulakan pembelian tanah seluas 11.93 relung di sini dengan nilai RM690,000 termasuk kos kerja-kerja menambun tanah.
Pun begitu, pada penghujung 2005 barulah kerja-kerja pembinaannya giat dilaksanakan. Almarhum Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak, selaku Pesuruhjaya memantau dengan rapi dan teliti setiap inci binaan termasuk soal hiasan dalaman dan kelengkapan perabot. Pembinaan yang memakan masa lapan bulan itu kemudiannya dimanfaatkan sebagai tempat berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-52.
Melakar masa depan, PAS Kedah mengharap dokongan semua pihak ke arah merealisasikan hasrat murni itu. Hulurkan perkongsian saham akhirat anda dengan menyumbang ke akaun Bank Muamalat Malaysia Berhad 02010001568716 atas nama Kompleks PAS Kedah.

No comments:
Post a Comment